Khamis, 16 Februari 2017

Tragedi Misteri Pesawat MH370 - Misi Pencarian Digantung

Ingat lagi tentang peristiwa kehilangan kapal terbang MH370 milik Malaysia Airlines (MAS)? Bagi seluruh rakyat Malaysia khususnya anggota keluarga yang terlibat, pasti tak akan lupa, sampai hujung nyawa pun tak akan lupa, betul? Orait, ini ada perkembangan terbaru mengenai kapal terbang MH370 tersebut. Tetapi sayang, perkembangan kali ini sedikit mendukacitakan lah. 


Dikhabarkan misi pencarian pesawat MH370 milik MAS itu telah digantung. Adakah misi pencarian itu akan dihentikan terus? Jika itu berlaku, maka kehilangan pesawat MH370 akan terus menjadi misteri. 

Berikut adalah berita muka hadapan akhbar Kosmo! edisi 18 Januari 2017 (Rabu) bersamaan 19 Rabiulakhir 1438H. 



Misi Pencarian MH370 di Lautan Hindi Digantung 

Misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing, China pada 8 Mac 2014 kini digantung kerana tidak menemui maklumat baharu.


Dalam satu kenyataan bersama Malaysia, Australia dan China, kapal mencari terakhir dalam operasi itu meninggalkan kawasan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi dekat Australia semalam. 


Operasi terakhir di Lautan Hindi gagal temui maklumat terbaharu sejak 2014 


PUTRAJAYA – Misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di dasar laut kini digantung selepas operasi pencarian terakhir di selatan Lautan Hindi seluas 120,000 kilometer (km) persegi tidak menemui sebarang maklumat terbaharu. 


Menurut satu kenyataan bersama Malaysia, Australia dan China, pesawat itu masih tidak dapat ditemui walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengesan kedudukannya selepas misi pencarian dilakukan selama 34 bulan. 


“Ini termasuk mengambil kira usaha dari segi sains, teknologi tercanggih serta nasihat daripada pakar-pakar yang berkemahiran tinggi dalam bidang masing-masing.” 


 

“Walaupun kajian saintifik secara bersama diteruskan bagi memperhalusi segala kemungkinan namun sehingga kini tiada maklumat terbaharu diperoleh bagi menentukan lokasi tepat pesawat berkenaan,” katanya di sini semalam. 


Kenyataan bersama itu dikeluarkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia, Darren Chester dan Menteri Pengangkutan China, Li Xiaopeng. 


Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 239 penumpang dan kru itu hilang ketika berada di ruang udara Vietnam pada pukul 1:07 pagi ketika dalam penerbangan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014. 


Operasi mencari dan menyelamat kemudian dilancarkan di Laut China Selatan melibatkan kawasan seluas 42,616 kilometer persegi serta Selat Melaka meliputi kawasan seluas 49,527 kilometer persegi membabitkan 26 negara sebelum ditamatkan pada 15 Mac 2014. 


Misi pencarian secara besar-besaran itu diperluaskan lagi ke koridor utara menghala ke Negara Kazakhstan dan Kyrgyzstan manakala koridor selatan ke Lautan Hindi melibatkan kawasan seluas 7.68 juta kilometer persegi. 


Bagaimanapun, para penyiasat mengesahkan tiga serpihan iaitu flaperon, sayap dan komposit yang ditemui di barat Lautan Hindi berasal daripada kapal terbang MH370. 




 

Menurut kenyataan itu, keputusan tersebut diputuskan oleh Malaysia, China dan Australia selepas Mesyuarat Tiga Pihak Peringkat Negara mengenai MH370 yang disertai ketiga-tiga pemimpin berkenaan pada Julai 2016. 


“Keputusan untuk menggantung pencarian pesawat MH370 itu tidak dibuat dengan sewenang-wenangnya dan tanpa mengambil kira perasaan sedih (keluarga mangsa),” kata kenyataan itu. 


Dalam kenyataan tersebut, ketiga-tiga pemimpin berkenaan turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada negara-negara yang menyediakan kepakaran dan bantuan sejak tragedi itu berlaku. 





Voice370 gesa misi mencari pesawat MH370 tetap diteruskan 


SYDNEY – Ahli keluarga kepada mangsa pesawat Malaysia Airlines MH370 meminta pihak berkuasa meneruskan operasi mencari pesawat malang tersebut sehingga ia ditemui. 


Sebuah badan digelar Voice370 yang mewakili keluarga mangsa dalam satu kenyataan memberitahu, mereka kecewa dengan pengumuman yang dikeluarkan oleh Pusat Penyelaras Agensi Bersama yang bertanggungjawab dalam mengetuai misi tersebut. 


Voice370 menyatakan bahawa terdapat pandangan daripada pakar pada bulan lepas yang mencadangkan pencarian baharu di kawasan 25,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi perlu diteruskan demi kepentingan keselamatan penerbangan lain dan ahli keluarga kru dan penumpang pesawat. 


“Pesawat komersial tidak boleh dibiarkan hilang tanpa dikesan. Misi pencarian perlu diteruskan,” kata kenyataan tersebut dengan meminta negara-negara terlibat termasuk Malaysia, China dan Australia untuk mempertimbangkan keputusan penangguhan pencarian tersebut. 


Misteri pesawat MH370 perlu dirungkai 


KUALA LUMPUR – Meskipun perlu menerima hakikat bahawa pencarian dasar laut pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 telah digantung namun waris penumpang dan ahli keluarga anak kapal pesawat tersebut masih berharap agar usaha pencariannya dapat disambung semula pada masa akan datang. 


Selamat Omar, bapa kepada Mohd. Khairul Amri Selamat iaitu salah seorang penumpang pesawat MH370 berkata, dia sedar segala usaha mencari sudah dilakukan secara bersungguh-sungguh sehingga meliputi selatan Lautan Hindi namun malangnya kapal terbang tersebut masih gagal dijumpai. 






“Kami tidak memaksa kerajaan untuk segera memulakan pencarian pesawat MH370 tetapi jika kewangan negara semakin kukuh, pencarian pesawat di lokasi baharu mungkin mampu merungkai segala misteri MH370,” kata Selamat, 64, ketika dihubungi Kosmo! semalam. 


Selamat berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan bersama Australia dan China yang memutuskan untuk menggantung operasi pencarian MH370 selepas 3 tahun yang meliputi kawasan 120,000km persegi di selatan Lautan Hindi gagal menemui pesawat tersebut. 


Mengulas lanjut, Selamat yang merupakan peneroka dari Felda Bukit Mendi, Bera, Pahang berkata, dia dan keluarga telah reda dengan apa yang berlaku kepada anaknya Mohd. Khairul Amri Selamat namun tetap berharap agar bangkai pesawat berkenaan dapat ditemui dan lebih penting mengetahui punca kapal terbang itu terhempas. 


Semasa tragedi itu Mohd. Khairul Amri Selamat yang merupakan jurutera pesawat berusia 29 tahun. 


Adik kepada Murzi Yusop yang juga salah seorang penumpang pesawat MH370, Zurihan Yusop, 46, pula menggesa kerajaan menilai semula usaha pencarian yang sudah memakan masa 3 tahun itu yang gagal tanpa menemui sebarang petunjuk. 






“Sebelum ini kerajaan begitu yakin bahawa pesawat MH370 dikatakan terhempas di selatan Lautan Hindi namun setelah pencarian digantung hari ini (semalam) pesawat itu tidak juga ditemui,” katanya. 




1 ulasan:

  1. Merit Casino Review 2020 - Xn-Xn-Xn-Xn-Xn-Xn-Xn-Xn-Xn-Xn-Xn-Xn-Xn
    Merit Casino 메리트 카지노 주소 Review | Casino Online | The Best Bonuses 메리트카지노 - Up to £200 | Play Here! | Live Dealer - Up to 200 Games 바카라 사이트 | Top Live Casinos

    BalasPadam